Friday, 10 August 2007

JALAN DURIAN DAUN - BAHAGIAN TIGA

Dona sering mengatakan saya ni senang didekati wanita. Saya mengakuinya tetapi majoriti wanita yang dah hampir pencen! Sememangnya saya senang memenangi hati mereka. Saya tak tahu sebabnya. Mungkin yang muda tu banyak minta dan songehnya.


Kalau Bahagian Kedua saya menceritakan tentang beberapa insan yang berhati mulia, kali ini saya ingin menceritakan pula beberapa karektor yang menduga kesabaran kami sekeluarga. Saya sedar itu semua adalah dugaan yang patut kami lalui atas kehendak Allah S.W.T. kerana pada waktu ini pun sebenarnya kami diduga tapi dalam bentuk yang lain - dulu susah tapi sekarang senang.


Orang-orang yang akan saya ceritakan ini acapkali menambah kesedihan dan kesusahan kami. Saya tidak akan menulis nama sebenar kerana tidak mahu mengaibkan mereka. Saya cuma akan menggantikan nama mereka dengan abjad yang tak semestinya mewakili nama mereka yang sebenar.


1. PL - Orang tua ini sememangnya sentiasa membuat saya geram padanya. Saya taka tahu kenapa dia tidak menyukai saya. Bila difikirkan, saya dan semua anak-anaknya adalah kawan sepermainan. Kami membesar bersama. Saya juga rapat dengan isterinya. Saya selalu mencuba sedaya upaya agar beliau suka akan saya tetapi tidak berhasil. Saya mengambil iktibar kerana saya ini anak orang miskin yang tidak ada status dan terlalu kerdil untuk disamakan dengan orang yang agak senang hidup mereka. Kehadiran saya tidak mempunyai apa-apa makna pada mereka pun. Seringkali dia akan melemparkan selipar atau kasut kami yang berada ditangga rumah kami ke dalam semak yang tebal di hadapan rumah kami sekiranya kami terlupa membawanya masuk ke rumah. Kadang-kala, selipar itu dilemparkan ke atas bumbung rumah! Ada juga beberapa kali selipar saya hilang tanpa dijumpai. Tayar basikal saya juga kadang-kadang pancit - anginnya sengaja dikeluarkan. Hobinya suka mengocak-ngocakan koceknya yang penuh dengan wang siling supaya saya dengar (adakalanya dia sengaja mengeluarkan wang kertas dari poketnya, sengaja nak tunjuk kat saya). Bila dia makan apa-apa dan saya nampak dia akan kata "huh, sedap, sedap, sedapnye" kerana hendak buat saya rasa terkilan atau meleleh air liur. Ada sekali tu dia menghina Arwah Moyang saya yang memangnye pekak dengan berkata "orang pekak nie pasal suka membohong". Tapi saya rasa yang paling teruk ialah saya selalu terduduk di atas sambal belacan atau sambal goreng yang sengaja diletakan di atas simen di hadapan peti televisyen di rumahnya. Kerana gelap saya memang tak nampak la ada "jerangkap samar" tu. Seluar saya akan kotor tapi yang paling dahsyat bontot saya pijarlah. Mula-mula saya ingatkan benda ni secara kebetulan tetapi tak kan selalu sambal akan tertumpah di situ!!! Kesian saya. Saya tak pernah menceritakan perkara ini kepada sesiapa pun sebelum ini.


2. MM - Wanita ini sangat dominan dan suka pada mereka yang boleh di kawal olehnya. Hampir setiap masa apa saja yang keluarga saya nak buat, kebenaran mesti diminta terlebih dahulu. Sekurang-kurangnya mesti memberitahunya walau pun perkara yang tak ada kena mengena dengannya. Sebenarnya pada waktu itu dia mengawal ibu saya lebih dari sesiapa pun di dalam dunia ini. Semua aktiviti kami dipantau dengan begitu ketat. Sekiranya kalau ada keluarga atau saudara mara ingin melawat kami, itu pun mesti diberitahu. Bukan dia nak bagi duit atau nasi tapi nak tahu jugak. Kalau dia tahu kami ada membuat sesuatu (bukan benda buruk pun), ibu akan di "denda" dengan cara sindiran yang pedas-pedas. Atau, dia akan buat "layan tak layan" dengan ibu saya. Satu di tanya, satu lah dijawab. Apabila keluarganya ada apa-apa aktiviti atau gotong royong, saya lah yang terpaksa menghambakan diri bermati-matian. Saya tidak ada pilihan lain cuma mengikut sahaja lah. Saya tidak berhasrat untuk membuat ibu saya dibuli lagi.


3. APW,AMU,APB,AMB, - Biarlah saya memanggil mereka Empat Orang Hebat. Mereka ini agak kaya tetapi menindas orang yang tidak bernasib baik. Mereka juga membuli keseluruhan keluarga saya termasuk Arwah Moyang, Arwah Nenek, Arwah Datuk (semua orang kesayangan keluarga saya ini telah lama kembali ke Rahmatullah, Al-Fatehah untuk mereka. Amin). Mereka juga membuli makcik2 dan pakcik saya. Mereka memandang rendah pada keluarga kami malah pada semua orang yang tidak bernasib baik. Saya masih ingat pada satu ketika, mereka enggan menukar tarikh perkahwinan anak perempuan mereka (anak angkat aje, pasal AMB ni mandul) yang kebetulannya jatuh pada hari yang sama dengan perkahwinan makcik saya walau pun kami telah terlebih dahulu memilih tarikh itu. Kami tidak dapat menukarnya kerana kad jemputan telah dicetak. Pada hari kenduri kahwin itu, ramai tetamu kami makan salah rumah dan makan di rumah mereka kerana rumah mereka di depan manakala kami di belakang. Secara otomatik wang dan hadiah menjadi milik mereka sewaktu bersalaman. Ada juga tetamu mereka yang salah makan di rumah kami tapi sedikit sahaja bilangannya. Perangai mereka agak serupa dengan perangai MM tetapi mereka ada satu "kelebihan setan" iaitu kedekut dan bakhil. Agaknya kerana mereka ni agak berada, mereka sentiasa memandang orang-orang yang tidak berharta sebagai pencuri. Seingat saya sekiranya ada budak-budak yang lalu di halaman rumah mereka dan melihat pokok buah-buahan seperti buah mangga, buah nona, buah mentega, buah jambu air dan jambu batu, dan mereka ternampak aksi itu, mereka akan terpekik, "hoi, nak curi ke?" Yang hairannya pula bila diminta secara baik, banyak alasan yang memang telah tersedia akan diberikan seperti "buah tak tua, belum masak lagi, ada orang dah pesan dan macam-macam lagi lah". Kalau pulak diberi, banyaklah syarat yang perlu dipatuhi apabila nak makan buah itu - "jangan makan dengan garam, kicap, gula, jangan buat sambal belacan, jangan masak kuah, jangan itu dan jangan ini. Cuma yang mereka tak dapat cakap mungkin "JANGAN MINTAK LAGI LAH, BODOH, DEGIL DAN TAK RETI BAHASA PUNYA ORANG MISKIN". Apa yang saya ingat buah-buahan dipokok itu cukup untuk diberi makan satu kampung! Tapi pengikut setan (pasal tak nak buat pahala bersedekah) lebih rela kadang-kadang melihat buah busuk dan gugur di atas tanah. Saya tak faham kenapa ada orang sebegini. Mungkin mereka musang. Itu lah salah satu sebabnya apabila apabila ibu saya dapat menebus rumah pusaka Arwah Nenek saya kira-kira 15 tahun yang lalu, perkara pertama yang kami lakukan ialah menanam pokok 4 jenis mangga. Hingga hari ini, pokok ini masih mengeluarkan buah yang banyak. Sesiapa sahaja yang minta tak kira bangsa dan ugama, kami tanpa apa-apa syarat akan mengizinkan mereka memetiknya. Cuma pesanan kami jangan petik yang muda kerana masam. Mereka boleh makan dengan apa cara pun! Kami tidak percaya pada perkara tahyul yang buah boleh rosak kiranya dimakan dengan garam atau kicap atau di buat gulai. Perkara karut marut ni dan tak terbukti pun dengan kemajuan sains tetapi masih ada lagi orang Islam yang bangang dan tak berotak mempercayainya. Untuk pengetahuan semua, Empat Orang Hebat ini telah pun berpindah di tempat yang amat jauh (meninggal dunia). Lupakan apa yang buruk dan marilah kita sedekahkan Al-Fatehah untuk mereka. Amin.

Sebelum saya sudahkan bab ini, saya ingin mengatakan bukan niat saya menceritakan keburukan orang sekeliling saya, tetapi saya hanya ingin berkongsi cerita tentang peristiwa yang saya dan keluarga saya alami 40 tahun lalu.

Sewaktu kecil dahulu saya selalu berharap yang saya ada mempunyai abang atau kakak, jadi saya tidak payah menanggung banyak kesusahan tetapi kemudian saya sedar Allah S.W.T. ada rancangan nya sendiri kenapa saya menjadi Abang Long. Alhamdulillah, saya telah tahu sebabnya. Saya juga bersyukur Allah S.W.T. bukan sahaja menghantar orang-orang yang baik hatinya kepada saya, tetapi juga orang-orang yang tidak berapa baik hatinya. Kerana mereka lah saya berjaya mengharungi segala kepayahan hidup dan dapat membantu ibubapa dan adik beradik sahaja. Alhamdulillah. Saya mengucapkan terima kasih kepada mereka yang baik hati dan yang tidak berapa baik hati yang telah memainkan peranan mereka dengan baik.

Cuma satu sahaja yang saya sedih iaitu Arwah Nenek (sebenarnya Moyang), Atok (Arwah Abd Ghani) dan Mak Mok (Nenek saya yang gemok, serius dalam membesarkan anak-anaknya (garang lah jugak) tapi sebenarnya lembut dan baik hati) tidak kesempatan merasa nikmat dan kesedapan dunia yang sementara ini. Mereka telah kembali ke tempat asal mereka pada saat kami memang hidup susah dan masih mengharung keperitan hidup. Tetapi, saya yakin Allah S.W.T. lebih menyayangi mereka dan mengambil mereka terlebih dahulu. Apa yang dapat saya buat ialah berdoa agar mereka berada di bawah lindungan dan rahmatNya jua. Amin. Sesungguhnya nikmat dan balasan dari Allah S.W.T. itu adalah yang paling adil dan terbaik.

"Dari tanah kamu dijadikan dan tanah juga kamu dikembalikan". Saya juga akan kembali ke tempat asal saya, tanah. Cuma masa yang akan menentukan bila ia berlaku. Cuma saya berdoa saya dimatikan di dalam iman. Amin.

Bersambung.......