Gambar ini diambil oleh Kiff pada 14hb. Julai, 2007 (Sabtu) yang lalu selepas menghadiri majlis Aqeqah anak Najah di rumah ibu mertuanya di Taman Laksamana, MELAKA.
Sebenarnya apa tertera digambar bukanlah rupa rumah asal yang saya dan keluarga saya diami tetapi ini adalah rupanya sebelum kami berpindah di rumah sebelah yang lebih besar. Pada asalnya rumah ini lebih daif rupa bentuknya dan lebih kecil(kira-kira 350 - 400 ratus kaki persegi). Bezanya hanya satu, iaitu sewaktu kami tinggal di rumah ini keadaan persekitaran dan dalamannya lebih bersih, teratur dan cantek. Ibu saya sememangnye seorang yang amat mengambil berat tentang kebersihan. Katanya, kalau ditakdirkan tinggal dalam rumah sebegini tak apalah, janji kena kemas dan bersih!
Sewa bulanan rumah ini pada waktu itu hanya RM15.00 sahaja. Adakah saya menyebut hanya RM15.00 sahaja? Sombongnya saya yea! Saya tak sepatutnya menggunakan perkataan hanya dan sahaja tadi. Pada ketika itu RM15.00 amat besar pada kami sekeluarga.
Saya ingin katakan bahawa saya rasa amat teruja cara ibu saya menguruskan keluarga kami dan menguruskan kewangan yang sumbernya amat kecil, sedikit dan terhad. Ayah saya amat beruntung menjadi suaminya (pada waktu yang sama, ibu juga beruntung mengahwini ayah saya yang sememangnya amat sempoi dari waktu muda hingga sekarang).
Ibu saya mengurus pendapatan ayah yang diberi padanya (tak banyak dan kalau nak ikutkan sememangnya tak cukup pun). Yang pelik dan ajaib, ibu tidak pernah menunggak sewa rumah kami atau membuat hutang pada sesiapa sehingga tidak dapat melangsaikannya. Ibu saya tidak percaya polisi berhutang dalam membuat harta. Kalau tak mampu, tak payah pakai lah. Suka saya sebut di sini bahawa kami mendapat meja makan pertama sewaktu saya berusia 14 tahun.
Saya tidak tahu bagaimana tetapi ibu saya sememangnya hebat 'giler' dalam menjaga dan mengurus hal ehwal kewangan keluarga kami. Dia diibaratkan Pengawal Keluarga dan "Financial Controller". Bayangkan, apakah ibu saya mampu lakukan jika beliau bersekolah hingga peringkat menengah dan mungkin berpeluang ke university? Kemungkinan kerusi panas Idris Jala sedang diduduki oleh ibu saya. Jika ibu saya menjadi Ketua Pegawai Eksekutif di syarikat saya, kemungkinan pembayaran bonus tahunan ialah sebanyak 6 bulan setiap orang, tak mengira pangkat dan kedudukan.
Sewaktu bertemu jodoh, ayah saya bekerja sebagai pemungut tiket wayang di panggung Cathay, Melaka. Nasib tidak menyebelahi ayah saya. Beliau yang dilahirkan di Singapura menghadapi masalah kewarganegaraan dan hanya memiliki Kad Pengenalan Merah. Pihak pengurusan Cathay tidak dapat lagi mengambil beliau sebagai pekerja tetap. Atas dasar kemanusiaan dan rekod kerja yang baik, pihak pengurusan Cathay yang pada masa itu semuanya berbangsa Cina dan bukan Islam (saya sebut kerana orang cina ada juga yang Islam, bahkan sekarang nie ada orang melayu yang Keristian, Nauzubillah) telah membenarkan ayah saya bekerja sebagai budak parkir (parking boy la). Bayangkan kadang-kadang ada syarikat kepunyaan Melayu dan diterajui oleh Pengurusan yang terdiri dari orang-orang Islam (banyak lah sebenarnya) pada masa kini bersikap lebih zalim, seolah-olah macam bukan berugama Islam dan macam bukan berasal dari tanah! Kalau terasa, minta maaf la yea. Saya cakap yang benar. Sapa makan cili dia rasa pedas lah!
Sebagai seorang isteri dan ibu, beliau tidak berdiam diri. Ibu membuat kueh jualan bagi menambah pendapatan keluarga. Saya akan menghantarnya ke kedai kopi dan kadang-kadang saya membawanya ke sekolah. Ibu juga mengambil upah membasuh baju dari satu keluarga cina dan melayu. Saya juga terpaksa membantu mengambil baju dari beberapa rumah cina dan membawanya pulang ke rumah untuk dibasuh, dijemur dan dikeringkan sebelum saya menghantarnya semula. Bayangkan apa yang ibu dan keluarga kami lalui. Saya tahu ada sesetengah jiran merasa agak geli dengan apa yang terpaksa ibu lakukan walau pun ianya terhormat kerana punca rezeki itu HALAL.
Saya pula pada musim cuti sekolah kerapkali bekerja di kedai kopi "mamak" berdekatan rumah saya. Upah nye? Cuba agak berapa? Denganbangganya saya sebutkan upahnya setiap hari dari jam 7 pagi hingga 6 petang, ialah sebanyak RM1.00, saya ulangi, Ringgit Malaysia Satu Sahaja. Tapi pada waktu itu Satu Ringgit Malaysia agak berharga dan boleh pergi agak jauh! Boleh buat belanja sekolah.
Beberapa tahun kemudian, ayah saya menukar "kariernya" sebagai Pengawal Keselamatan. Itulah pekerjaannya sehingga beliau bersara kira-kira 10 tahun lepas.
Ibu saya juga menukar kerjayanya dan bekerja di kilang mee kering berdekatan rumah saya.
Percayalah bahawa menjadi orang miskin bukan sesuatu yang kami minta dan bukan sesuatu yang enak dilalui. Kami kerap kali menjadi "halimunan" atau orang tak nampak pun. Pendek kata, orang tak berapa nak endahkan pun sama ada kami ujud atau tidak tetapi kalau hal-hal membanting tulang atau gotong royong, orang miskin seperti kami mesti kena hadir kalau tak di cap MALAS. Kami sentiasa dibuli. Kami sentiasa disindir dengan kata-kata yang sinis dan tidak sedap di dengar telinga. Berbagai-bagai dugaan, cubaan dan gurauan yang tidak kelakar terpaksa kami lalui. Diantara contoh-contoh yang suka saya sebutkan ialah, apabila kami terlupa dan membiarkan selipar di tangga, esok selipar itu akan berakhir di dalam semak di depan rumah kami. Kami terpaksa lah meraba mencarinya. Ibu pula akan berleter dan memarahi kami kerana cuai. Ada kalanya, baju yang kami jemur di ampaian akan dibuang di atas tanah. Tayar basikal pula dibuang anginnya.
Pendek kata macam-macam lagi lah. Kami hanya boleh melihat dan memendam rasa. Tahan aje la. Kalau la ini cara orang yang agak mewah bergurau dengan orang miskin, saya rasa inilah gurauan yang "paling kurang ajar" dalam dunia. Yang pasti, ini cubaan dari Allah S.W.T., dan kami kena redha.
Apa yang nyata, satu pengalaman sedih. Sangat sedih. Saya terlalu sedih dan tak mampu menaip lagi.
Ini cuma permulaaan sahaja. Cerita hidup saya amat panjang. Penderitaan dan keperitan yang keluarga saya lalui amat banyak. Saya akan sambung lagi cerita saya dan keluarga saya menjalani kehidupan di Jalan Durian Daun dalam masa terdekat ini. Insya' Allah.
Selamat Malam.

No comments:
Post a Comment